Ketidakhadiran Azmin Ali sewaktu majlis pengumuman calon PKR di Serendah semalam mencetuskan desas desus bahawa Naib Presiden PKR itu merajuk dengan tindakan Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kuasa vetonya memilih Zaid Ibrahim.
Dalam majlis yang diadakan di Dewan Komuniti serendah itu, kesemua pimpinan tertinggi PKR termasuk Presiden, Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Md Akim, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fauziah Salleh, Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail telah menghadirikan diri.
Seorang jurucakap PKR memaklumkan bahawa ketidakhadiran Azmin kerana membuat persiapan pilihanraya kecil di Sibu Sarawak, namun cakap-cakap dalaman PKR menyatakan Azmin begitu kecewa dengan tindakan Anwar sehingga mengambil tindakan tidak menghadiri majlis tersebut.
Azmin sebelum ini dilaporkan mencadangkan Dr. Halili Rahmat atau Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai nama untuk diangkat sebagai calon PKR dalam pilihanraya di Hulu Selangor, dan difahamkan nama Dr Halili menjadi pilihan utama, sebelum dibatalkan saat-saat akhir.
Turut difahamkan, Azmin Ali tidak mengemari Zaid Ibrahim kerana bekas pemimpin UMNO itu pernah mencampuri urusan PKR Sabah, sehingga Azmin Ali terpaksa melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Sabah.
Menurut sumber dalaman Anwar terpaksa bertegas memilih Zaid berdasarkan desakan penaja asing khususnya Yayasan Kristian Jerman yang mahukan pengganti Anwar, seandainya Penasihat Umum PKR itu kembali ke penjara ekoran kes liwatnya.
Penaja asing dikatakan lebih berminat kepada Zaid Ibrahim yang pernah ditajanya sebelum ini.
Zaid dilihat 'tokoh Liberal' sesuai sebagai pengganti Anwar.
Sementara itu pemilihan Zaid juga dikatakan telah menimbulkan dilema kepada jentera pilihan raya Pas di Hulu Selangor kerana beliau pernah mengambil tindakan menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 beberapa tahun lalu dengan alasan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.