Dato Dusuki Ahmad dalam buku autobiografi terbarunya 'Dari Pondok Ke Parlimen' menulis satu bab khusus berkenaan dengan hubungannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bab ke 9, bertajuk "Anwar Ibrahim, ABIM dan UMNO" menceritakan pengalaman beliau bersama Anwar ketika bersama-sama dalam ABIM dan UMNO dan sehinggalah peristiwa pemecatan Anwar pada 2 September 1998.
Penulis mengakui aset utama Anwar adalah kehebatan berpidato.
Tulis Dusuki : Kata seorang kawan, “Apabila Anwar Ibrahim berpidato, bukan manusia saja yang terpesona, tetapi iblis dan jin juga lebih terpesona. Itulah kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya."
Menurutnya, beliau mula berkenalan dengan Anwar sejak dari tahun 1971. Ketika itu Anwar adalah Presiden PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) dan Presiden PKPIM, manakala Dusuki pula bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mereka berkenalan melalui perantaraan Farinordin Ibrahim (suami kepada adik penulis). Farinordin merupakan sahabat baik Anwar ketika sama-sama menuntut di MCKK dan Universiti Malaya.
"Bahkan adik ipar saya itu pernah tinggal di Petaling Jaya menumpang di rumah Pak Ibrahim (Dato’ Ibrahim), ayah kepada Anwar ketika tahun pertama di universiti berkenaan", tulisnya.
Dalam buku autobiografi yang diterbitkan oleh Yayasan Darul Hanan, 2010 itu juga penulis menceritakan penglibatannya menubuhkan persatuan belia Islam yang kemudiannya dikenali sebagai ABIM. Penulis terlibat dalam perjumpaan pertama di Wisma MAYC di Jalan Syed Putra dan diikuti dengan mesyuarat pertama ABIM di Kolej Kedua, Universiti Malaya setelah badan itu didaftarkan.
Menurut penulis, peristiwa yang paling getir berlaku adalah 'peritiwa 1982', ketika Anwar selaku Presiden ABIM mengumumkan diri memasuki UMNO.
"Bahkan perjuangan Anwar sebelum ini dilihat sebagai pelengkap dan mirip kepada perjuangan parti PAS. Beliau tidak pernah menunjukkan minatnya kepada UMNO", tulisnya.
"Golongan yang paling kecewa dan hampa dengan sikap dan tindakan Anwar Ibrahim itu adalah parti PAS, kerana sikap sedemikian menyulitkan mereka yang selama ini memujanya setinggi gunung, tetapi sekarang mereka terpaksa menentang pula tokoh yang mereka puja dan agung-agungkan itu", tulisnya lagi.
Penulis merumuskan : "Orang PAS beranggapan demikian kerana Anwar dan ABIM pimpinannya memberi sokongan kuat kepada Dato’ Asri, terutamanya ketika PAS menghadapi krisis besar menjelang pilihanraya umum 1978. Bahkan Anwar mendorong beberapa pemimpin kanan ABIM yang berlatarbelakangkan agama dan yang dianggap sebagai ulama supaya menyertai PAS sebagai calon dalam pilihanraya umum tersebut. Antara mereka ialah Nakhaie Ahmad, Fadzil Noor, Abdul Halim Arshad, Yahya Othman dan Abdul Hadi Awang. Mereka semuanya golongan ustaz. Perkembangan ini menyakinkan bahawa Anwar tidak mungkin akan menyertai UMNO, sebaliknya akan menyusuri mereka pada pilihanraya umum April 1982. Andaian ini menyakinkan lagi apabila menjelang pilihan raya umum itu, Anwar Ibrahim telah hadir dalam banyak majlis rapat umum dan ceramah anjuran parti PAS di seluruh negara. Antaranya ialah rapat umum di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan. Ribuan yang datang ke majlis itu amat puas hati dengan hujah-hujah yang dikemukakan tentang keburukan kepimpinan UMNO semasa"
Tetapi penulis menjelaskan sejarah membuktikan tindakan Anwar terbalik dengan apa yang diperkatakan. Walaupun mengecam UMNO, tetapi dalam masa sama menyertai UMNO.
Penulis juga turut menceritakan perbualannya dengan anaknya, Asyraf Wajdi, pada 5 September 1998, selapas 4 hari Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Anaknya ketika itu Presiden PKPIM mengajak beliau ikut serta ke rumah Anwar Ibrahim pada malam tersebut. Dia memberitahu bahawa sudah dua malam berturut-turut dia berada di sana untuk menyatakan simpatinya dan simpati PKPIM pimpinannya.
Menurut penulis walaupun anaknya sendiri mengajak beliau berkunjung ke rumah Anwar, tetapi beliau merasai aneh bahawa pada masa itu hatinya tidak digerakkan untuk berbuat demikian. Walaupun ketika itu beliau juga berasa amat simpati yang mendalam kepada Anwar tetapi Allah SWT tidak ditakdirkan untuk saya bersama pengunjung-pengunjung ke rumahnya di No.8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara.
Menurutnya, walaupun mereka bersahabat baik, tetapi Anwar tidak pernah menganggapnya sebagai orang dalamannya (inner circle). Penulis memberitahu, Anwar tidak pernah mengajak berbincang perkara-perkara tertentu yang khusus seperti kawan-kawan lain
Ketika itu juga penulis tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan dan baru saja ditamatkan perkhidmatannya sebagai anggota pengarah NSTP yang diminta oleh Dato’ Nazri Abdullah dengan arahan Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, penulis telah diminta mengosongkan jawatannya dalam kepimpinan UMNO Bahagian Tumpat bagi membolehkan Dato’ Kamaruddin Jaafar(sahabat karib Anwar) dipilih sebagai salah seorang daripada pegawai di peringkat bahagian.
“Itulah harga yang terpaksa dibayar,” kata Asyraf Wajdi dan sambungnya lagi, “Sekarang ini bukan lagi masalah pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada pentadbiran kerajaan dan parti, tetapi sudah menjadi isu kemanusiaan dan negara.”
Saya mencelah “Mungkin atas nama kemanusiaan dan negara jugalah Dr Mahathir bertindak demikian. Katanya dia merasai berdosa menyerahkan amanah negara, bangsa dan agama ini kepada orang yang dia yakin telah melakukan perkara-perkara yang menyentuh akhlak dan agama.”
“Nampaknya papa percaya itu semua,” katanya lagi.
Jawab saya, “Benar atau tidak hanya Allah SWT saja yang mengetahuinya. Tetapi Dr Mahathir penuh yakin dengan kebenarannya sebagaimana dengan bukti-bukti yang dia beritahu kepada semua Menteri Besar negeri-negeri, anggota Majlis Tertinggi UMNO dan beberapa orang tertentu sebelum ini.”