Wednesday, July 15, 2009

Sulaiman Abdullah, ketua peguambela Anwar tarik diri

Anwar memberitahu media pagi ini (15 Julai), ketua pasukan peguamnya, Sulaiman Abdullah telah menarik diri daripada mengendalikan kes liwat Anwar dengan alasan sakit tenat.

"Saya jumpa Sulaiman semalam, dia sakit tenat dan tidak boleh meneruskan untuk kendalikan kes. Saya perlukan masa untuk mencari peguam baru", kata Anwar di bangunan mahkamah pagi ini.

Desas desus Sulaiman Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes ini, sudah kedengaran sejak 7 Julai lalu, apabila beliau menyambung cuti sakit yang sebelum ini sudah dua minggu telah diberi cuti.

Ketidakhadiran Sulaiman menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan sebanyak dua kali.

Difahamkan, Sulaiman mengambil keputusan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes Anwar setelah pihak pendakwaraya membekalkan dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang bakal dibawa ke mahkamah.

Dokumen tersebut termasuk laporan DNA, senarai saksi dan rakaman CCTV.