Wednesday, July 8, 2009

Permohonan Anwar gugurkan kes liwat hari ini

Hari ini, 8 Julai mahkamah akan memutuskan perbicaraan kes liwat, boleh diteruskan atau digugurkan, sepertimana yang dituntut oleh pihak peguam bela Anwar, dalam petisen 17 Jun lalu.

Sekiranya peguam Anwar gagal mengemukakan hujah-hujah yang konkrit untuk menggugurkan kes, maka sebutan kes oleh pihak pendakwaraya akan dilakukan selepas keputusan hakim menolak permohonan Anwar itu.

Pihak mahkamah dijangka akan meneruskan kes liwat itu berdasarkan hujah-hujah pasukan peguambela yang tidak begitu konkrit, berbanding dengan bukti-bukti pihak pendakwaraya yang berkaitan dengan DNA dan sampel air mani.

Sebelum ini, pihak pendakwaraya gagal membuat sebutan kes, kerana karenah penguambela Anwar yang berusaha untuk menangguh-nangguhkan serta berusaha menggugurkan kes.

Di samping itu, pada hari ini, mahkamah juga turut mendengar satu lagi permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dengan kes liwat.

Perbicaraan ini yang sepatutnya dilakukan pada 1 Julai lalu, terpaksa ditangguhkan ke hari ini apabila ketua pasukan peguambela Anwar, Sulaiman Abdullah memohon kepada mahkamah agar kes ini ditangguhkan kerana beliau kurang sihat dan telah diberi cuti sakit sehingga tujuh hari.

Pada 10 Mac lalu, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, du Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Pada 10 Jun lalu, Anwar memfailkan permohonan supaya pendakwa raya membekalkan semua dokumen dan barangan berkaitan kes liwat tersebut sebelum perbicaraan penuh bermula.

Antara yang dipohon ialah rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) di tempat didakwa berlakunya kejadian itu di Desa Damansara Condominium, sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu, Mohd Saiful Bukhari dan kenyataan polis.