Monday, November 9, 2009

Keluar dari PKR jika tidak mahu ikut dasar - Anwar

PULAU PINANG 8 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi kata dua kepada pemimpin dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada terus setia atau keluar daripada parti jika mereka tidak mahu mengikut dasar yang ditetapkan.

Penasihat PKR itu berkata beliau sedia menerima kritikan tetapi tidak boleh berkompromi dengan anggota yang tidak boleh mengikut dasar yang ditetapkan parti.

"Semua anggota parti mestilah menyokong agenda perubahan, bekerja untuk Pakatan Rakyat atau terpaksa disingkirkan daripada parti,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama ketika merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang.

Agenda Perubahan yang menjadi dasar PKR adalah memperjuangkan keadilan, hak sama rata, kebebasan dan hak asasi manusia.

Cabaran penasihat PKR itu berikutan kecenderungan terkini pemimpin dan ahli-ahli PKR yang tidak setia kepada parti dan mengistiharkan diri menjadi bebas.

Kes yang terbaru adalah Jefrey Kitingan, Cristina Liew dan Badrul Hisham Abdullah, ADUN PKR Pelabuhan Klang.