Saturday, November 7, 2009

Imej PAS semakin negatif selepas bergabung dengan PR

KUALA LUMPUR: Imej PAS dilihat menjadi semakin negatif terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, iaitu selepas PAS mengambil keputusan bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR), gabungan antara PAS, DAP dan PKR

Pendedahan yang mengejutkan itu didedahkan oleh pengkaji politik, Dr Abu Hassan Hasbullah, pensyarah Universiti Malaya ketika membentangkan kertas kerjanya pada Seminar Memperkasakan Parti anjuran PAS di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dibuat keatas 2,100 responden yang dipecahkan kepada tiga peringkat umur mendapati golongan muda yang berumur 21-30 tahun telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan PAS.

Dalam pada itu, Abu Hassan berkata satu lagi penemuan yang mengejutkan ialah kebanyakan daripada mereka yang menyatakan pandangan negatif terhadap PAS dari kelompok umur 41-50 tahun adalah daripada kawasan pantai timur dan utara.

Penemuan itu ternyata bertentangan dengan tanggapan umum selama ini bahawa kawasan pantai timur merupakan kubu kuat PAS.

Abu Hassan berkata kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi 'atas pagar'.

"Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus," katanya.

Seorang lagi pemerhati politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari, dari Universiti Islam Antarabangsa, berkata PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam

"Ini satu perlembagaan yang kita kenal, kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif, jadi jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka," katanya.

"PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti," katanya lagi.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.

Kedua-dua pemerhati politik itu diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu ke arah memperkasakan parti.