Anuar Shaari, satu watak yang tidak menonjol sebelum ini, tetapi hari ini menjadi tumpuan para wartawan, apabila tampil mengemukakan salinan asal dokumen pemilikan saham dan penyata akaun bank Azmin Ali dan isterinya Shamsidar Tahrin.
Dengan dokumen itu, beliau kemudiannya membuat laporan polis kepada Bahagian Jenayah Perdagangan PDRM di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.
Penampilan Anuar Shaari dikira paling kredibel kerana beliau merupakan bekas Setiausaha Sulit (SUS) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan (1996-1998) dan apabila Datuk Seri Anwar dipecat daripada UMNO pada 2 September 1998, beliau berhenti sebagai pegawai kerajaan serta membantu perjuangan Datk Seri Anwar dengan menjadi Setiausaha Politik kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh, sebelum keluar meninggalkan parti itu pada tahun 2007.
"Saya mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dokumen itu bertarikh 1992-1994 semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dan ketika itu juga Azmin Ali menjadi setiausaha Anwar," katanya.
“Saya rasa penyokong-penyokong Azmin Ali, Wan Azizah dan Anwar ingin mencari kebenaran, Lebih-lebih lagi Wan Azizah juga ingin tahu, kenapa banyak daripada saham tersebut banyak atas nama Shamsida” katanya lagi.
Ketika ditanya adakah dokumen ini berkaitan dengan akuan bersumpah RM3 billion Datuk Abdul Murad Khalid pada tahun 1999, Anuar meminta pihak polis menyiasatnya dengan lebih terperinci untuk menentukan kebenarannya.
“Saya tidak berniat menghukum, tetapi mungkin ada asasnya, kerana jumlah ini cukup besar dan selari dengan apa yang diperkatakan.” Katanya.
Anuar juga tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat hubungan di antara Datuk Seri Anwar dengan Shamsida Taharin
Kata Anuar : “Saham-saham atas nama Shamsida, jumlahnya cukup besar, jutaan ringgit, sebab itu kita minta perkara ini disiasat dengan setelus-telusnya”
Pada 28 Oktober 1999, Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid, mendedahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal sebanyak 20 Akaun Induk (Master Accounts) yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.
Menurut pengakuan bersumpah itu, salah seorang yang dibantu Anwar adalah lelaki Cina bernama Tong Kooi Ong Tong yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Phileo Allied Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama BSKL.
Anwar mengarahkan Tong supaya mengambil Shamsidar Taharin isteri kepada Azmin Ali, bekas Setiausaha Sulit kepada Anwar.
Kata Abdul Murad: ''Adalah diketahui dengan meluas bahawa Shamsidar dibayar gaji yang tinggi dan disediakan dengan sebuah kereta dan pemandu dan pada kebanyakan masa dia tidak perlu pergi bekerja.''