Tuesday, June 30, 2009

Kes liwat Anwar : PKR rancang ceramah seluruh Selangor

Mesyuarat Biro Politik PKR kelmarin telah memutuskan parti itu akan mengadakan penerangan besar-besaran kepada warga Selangor, sepanjang bulan Julai, bermula dari 2 Julai 2009.

"Kami telah membincangkan secara terperinci berkenaan kes Anwar akan didengar bulan depan. Salah satu kemungkinan adalah Anwar akan kembali dipenjarakan di Sg. Buloh, semula", kata Saifuddin Nasution, Pengarah Pilihanraya PKR.

Dari nada percakapan Saifuddin Nasuiton itu, kes yang bakal dihadapi oleh Anwar Ibrahim pada 8 Julai ini amat membimbangkan, sehingga kebanyakan aktivis PKR membuat keputusan awal yang Anwar bakal didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari serta akan dipenjarakan semula di Sungai Buloh.

Menyuarat itu juga memutuskan untuk mengadakan penerangan besar-besaran kepada ahli dan rakyat Selangor untuk menerangkan kedudukan terkini isu Anwar Ibrahim.
Ceramah-ceramah telah disusun secara bersiri dengan menggunakan kemudahan kerajaan Negeri Selangor, termasuk stadium dan dewan orang ramai.

Program itu bakal dikendalikan oleh Biro Penerangan Negeri Selangor dengan kerjasama ketua-ketua cabang PKR.

Sepucuk surat rasmi yang dikeluarkan oleh Biro Penerangan Negeri Selangor kepada Ketua-ketua Cabang telah dikeluarkan semalam, 29 Jun 2009.

Difahamkan mesyuarat juga turut mempertimbangkan cadangan mengadakan demonstrasi besar-besaran seperti tahun 1998, tetapi cadangan itu ditolak kerana sambutan rakyat yang kurang positif terhadap kes liwat Anwar.

Sebagai alternatifnya, PKR bersetuju mengadakan ceramah-ceramah bersiri menggunakan instrumen PKR untuk memberi kefahaman kepada rakyat Selangor berkenaan isu liwat Anwar.