Anwar Ibrahim yang didakwa dihalang oleh mahkamah ke Amerika Syarikat untuk menghadiri Persidangan di Washington pada 26 Jun 2006, telah mengadakan lintas langsung dari Kuala Lumpur melalui TV Antara semalam.
"Saya minta maaf kepada pengelola-pengelola program yang jemput saya, US Chamber of Commerce, CIPE, US Muslim World Engagement Project dan para tetamu kerana tidak dapat bersama anda hari ini", kata Anwar.
"Sepatutnya hari ini saya bersama-sama anda untuk menziarahi sahabat handai dan kawan-kawan di Amerika, tetapi kerana saya dihalang oleh mahkamah Malaysia, saya gagal untuk bersama kalian. Mahkamah Malaysia berusaha untuk menyusahkan saya dengan mempercepatkan jadual perbicaraan yang tidak dijadualkan sebelum ini", kata Anwar lagi.
Seterusnya dalam ucapan itu, Anwar menuduh mahkamah Malaysia telah disalahguna oleh pihak kerajaan untuk menghalang dan memenjarakannya kerana pihak kerajaan takut dengan agendanya membangunkan kebebasan dan demokrasi di Malaysia. Namun begitu Anwar berpendapat strategi kerajaan itu silap.
Anwar juga memuji ucapan Presiden Obama di Kaherah baru-baru ini. Kata Anwar Obama telah memulakan usaha-usaha positif untuk memulihkan hubungan antara Amerika Syarikat dengan dunia Islam. Antaranya menutup Teluk Guantanamo, menamatkan perang di Iraq dan menyelesaikan konflik antara Palestin - Israel.
Siri lawatan Obama ke Kaherah dan Turki menunjukkan kepercayaan Amerika Syarikat kepada dunia Islam, bukan setakat rakan kongsi dalam aspek keselamatan, bahkan mampu merangka agenda lain yang lebih besar secara bersama.
Agenda yang dimaksudkan Anwar itu adalah membangunkan nilai kebebasan dan hak-hak manusia yang dikongsi bersama tanpa dihalang oleh jurang perbezaan agama dan budaya.
Menurut Anwar, walaupun sesetengah pihak beranggapan agenda besar ini gagal dicapai kerana halangan-halangan tertentu, tetapi Anwar optimis agenda besar ini dapat dicapai sekiranya Amerika berjaya mencari rakan kongsi yang benar-benar dipercayai di setiap negara Islam.
Rakan kongsi yang boleh dipercayai itu adalah sekumpulan muslim yang benar-benar mendokong aspirasi yang sama dengan Amerika Syarikat.