Tuesday, February 2, 2010

Peguam Anwar gagal temui Ketua Hakim Negara

Kuala Lumpur 2 Feb. - Usaha peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan tarikh awal bagi semakan rayuan keputusan mahkamah, yang menolak pembekalan dokumen penting, kepada pemimpin PKR itu dengan menemui Ketua Hakim Negara telah menemui kegagalan.

Utusan Malaysia melaporkan peguam bela Anwar, Sankaran Nair, memberitahu bahawa Tun Zaki Tun Azmi tidak berada di pejabat beliau di Putrajaya hari ini.

"Tun Zaki bagaimanapun telah mengeluarkan arahan kepada Tan Sri Allaudin yang bersetuju mengadakan satu pertemuan pagi esok di Putrajaya bagi membincangkan penetapan tarikh untuk permohonan semakan.
"Oleh itu, saya akan berada semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi meneruskan hujahan permohonan penangguhan kes,'' katanya.

Pagi tadi, Karpal Singh memohon untuk menangguhkan prosiding dengan alasan beliau ingin menemui Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berhubung semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen berhubung kes liwatnya.