Friday, August 20, 2010

Omar Khalid : Kenapa Nik Aziz bela Anwar ?

Bekas Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Omar Khalid dalam satu kenyataan menyatakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya disebat 80 kali sekiranya mengikut hukum Islam kerana enggan bersumpah muhabalah ekoran tuduhan ke atasnya yang didakwa melakukan kesalahan liwat ke atas bekas pembantunya Saiful Bukhari.

Omar Khalid yang juga merupakan bekas “anak emas” hasil didikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pernah diberi ruang menyampaikan Kuliah Jumaat di bangunan PAS Kota Bharu juga mengatakan dalam kes liwat antara Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari jelas menunjukkan sumpah Saiful adalah tepat sesuai dengan tuntutan ayat Al –Quran.

"Apabila saja tidak dapat bukti, masing-masing boleh bersumpah dengan nama Allah, wallahi, wabillahi, wattallahi, saya tidak melakukan, selepas bersumpah, kena bebaskan dia dan seorang lagi mesti bersumpah juga dan bebas. Kalau yang seorang lagi tidak mahu bersumpah, maka kita hendaklah rotan 80 kali", kata Omar Khalid

"Bererti, Saiful sudah bersumpah, sudah cukup, kita kena bebaskan dia. Dari hukum Islam, maka Anwar wajib dihukum, kerana dia tidak mahu bersumpah", katanya lagi


Beliau juga mengkritik tindakan Nik Abdul Aziz yang mengambil tindakan menyokong Anwar tanpa bertanyakan kepada Saiful Bukhari, dan tidak meminta Anwar bersumpah bermubahalah.

Omar Khalid yang pernah terlibat dalam perancangan memberikan label “Tok Guru” kepada Nik Abdul Aziz juga menggangap tindakan Menteri Besar Kelantan itu umpama membela pengkhianat apabila sanggup membela Anwar Ibrahim di dalam kes liwat.

"Kenapa Anwar tidak mahu bersumpah. Maknanya Nik Aziz melakukan dua kesilapan, pertama Anwar Ibrahim yang sudah bersalah dan kedua Nik Aziz turut bersalah kerana bersekongkol membela Anwar. Anwar tidak bersumpah kenapa kamu bela.Maknanya Nik Aziz betul-betul menjadi pembela kepada pengkhianat", katanya.

"Anwar telah confirm sudah bersalah dulu, tiga orang hakim menyebut kamu (Anwar) bersalah, cuma ada ruang-ruang untuk kamu dibebaskan, maka kamu dimaafkan, tetapi kamu masih bersalah", katanya lagi.

Menurutnya lagi adalah jelas Anwar merupakan seorang manusia yang hipokrit dan pandai bermuka-muka, sedangkan keputusan kes liwat tahun 1998 jelas menunjukkan Anwar memang bersalah.

"Kenapa kamu (Nik Aziz) bela orang yang bersalah. Sekiranya kamu mahukan kebenaran kenapa tidak bertanya sendiri kepada Saiful ataupun kamu menyuruh Anwar turut bersumpah", katanya lagi.

Kenyataan Omar Khalid tersebut disiarkan dalam youtube channel anwaribrahimdotcom.

Baca selanjutnya..

Monday, August 16, 2010

Hakim putuskan teruskan prosiding, Karpal mahu tangguh lagi

Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan dakwaan liwat terhadapnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan agar prosiding diteruskan, namun begitu Karpal Singh, Ketua Peguambela Anwar memohon penangguhan lagi agar kes ini dibuat rayuan selanjutnya.

Dalam keputusan yang dibaca oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin pagi tadi beliau menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan kes kerana hujah pihak Anwar tidak kukuh.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tuduhan terhadapnya digugurkan. Dalam permohonannya beliau mendakwa bahawa Farah Azlina Latif ada akses kepada kertas siasatan, dan ada hubungan dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Dalam afidavit pendakwa, pasukan mereka tidak menafikan ataupun bersetuju dengan bahawa adanya hubungan, tetapi menekankan bahawa Farah Azlina dan Saiful tiada akses kepada dokumen-dokumen ini.

"Mahkamah mendapati tiada salah guna dalam proses pembuktian di sini. Oleh itu, permohonan ini ditolak," kata Zabidin.

Justeru itu, hakim memutuskan agar prosiding diteruskan seperti biasa bermula hari ini.

Karpal yang tidak bersetuju dengan keputusan hakim itu, memohon kepada mahkamah agar prosiding ditangguhkan sementara waktu sehingga selesai proses rayuan yang bakal dibuat oleh Anwar.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden pula membalas hujah Karpal, jika permohonan itu dibenarkan prosiding ini akan tertangguh lagi dalam jangka masa yang agak lama dan akan menggangu perbicaraan sebenar. Prosiding perlu diteruskan dan dalam masa sama, pihak Anwar boleh mengemukakan rayuan tanpa proses penangguhan.

Hakim memutuskan untuk mendengar rayuan Karpal petang ini, jam 2.15 petang sebelum membuat keputusan selanjutnya.

Pada sesi petang, setelah Karpal diberi peluang mengemukakan hujah, akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membuat keputusan membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes liwatnya sementara menunggu rayuan terhadap Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pagi tadi. Perbicaraan ini akan disambung semula pada 20 September ini

Pada 19 Julai lalu prosiding sepatutnya diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi kedua pihak pendakwa, Dr. Mohd. Razali Ibrahim , Pakar Bedah Am Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari dua hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku.

Dalam keterangannya, Dr Mohd Razali memberitahu ujian sampel menunjukkan adanya air mani walaupun tiada kesan koyakan atau kecederaan pada bahagian dubur.

"Dengan kesemua laporan yang ada di depan saya, saya boleh mengatakan adanya bukti penembusan walaupun tanpa kecederaan klinikal," kata beliau lagi.

"Dengan kehadiran kesan air mani, ada bukti penembusan (di bahagian) dubur," katanya.

Beliau juga membacakan kandungan laporan yang mengatakan sampel calitan B5, B7, B8 dan B9 yang menyebut tentang kesan air mani di dubur.

"(Dengan ini) saya boleh merumuskan (sekarang) bahawa adanya bukti tembusan," kata Dr. Razali.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh dijangka menyoal balas doktor tersebut selepas itu

Namun begitu, sesi soal balas tertangguh apabila Anwar melalui pasukan pembelaannya buat kali kedua memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan beberapa dokumen termasuk sampel-sampel yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari.

Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Hakim Mohamad Zabidin pada 18 Jun lalu dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lepas.

Sekali lagi, sesi soal balas tertangguh kepada 2 Ogos, apabila peguam Anwar, Datuk Param Cumaraswamy memohon penangguhan apabila Ketua Peguambela Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Pada 2 Ogos, sekali lagi sesi soal balas tertangguh lagi, apabila Karpal Singh membangkitkan isu hubungan romantis di antara Saiful dengan Farah Azlina Latif. Anwar pula mengemukakan permohonan untuk menggugurkan kes dengan alasan tersebut.



Baca selanjutnya..

Saturday, August 14, 2010

Dr Harun Din jawab ucapan Anwar di Woodrow Wilson Centre

Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Woodrow Wilson International Center, Washington DC pada 24 Jun lalu telah menimbulkan polemik panjang khususnya di kalangan ahli-ahli PAS di Malaysia.

Seorang blogger pro PAS, Zainol Abideen atau lebih dikenali sebagai Mahaguru58 telah mengambil inisiatif menjawab dakwaan-dakwaan Anwar itu khususnya berkaitan dengan Konsep Negara Islam dan hukuman rotan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah meminum arak.

Anwar semasa berucap di Woodrow Wilson Centre, beliau ditanya adakah beliau menyokong Negara Sekular atau Negara Islam. Anwar menjawab, beliau tidak menyokong Negara Islam sebab konotasi Negara Islam membawa makna yang negatif.

Menurut Anwar, beliau menolak konsep Negara Islam kerana konsep tersebut mengabaikan kebebasan menganut agama dan kebebasan beragama serta mendaulatkan undang-undang sekular.

"Saya mengelakkan daripada menggunakan istilah Negara Sekular, tetapi saya suka anda kembali kepada prinsip asas. Apa yang saya mahu ? Saya mahu kedaulatan undang-undang, kebebasan menganut agama, kebebasan beragama, media bebas dan ekonomi pasaran bebas", kata Anwar.

Walaupun Anwar cuba mengelak menggunakan istilah Negara Sekular tetapi penjelasan ciri-ciri negara yang dikehendakinya itu sudah menjurus kepada Konsep Negara Sekular.

Berkaitan dengan hukuman rotan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah meminum arak, Anwar secara terus terang membantah pelaksanaan hukuman tersebut.

"Saya tahu mereka yang kaya dan terkenal, dimaaf minum arak di hotel mewah. Tetapi dalam kes gadis miskin tersebut, mereka merotannya. Adakah ini yang mahu dipertahankan oleh agama? Di manakah ulama? Di manakah cendekiawan Islam?. Bila berlaku ke atas gadis miskin, anda rotan, bila berlaku ke atas orang kaya, anda maafkan, cium tangan mereka" kata Anwar.

Dua perkara asas ini (Negara Islam dan hukuman rotan) menyebabkan blogger mahaguru58 berusaha mendapatkan penjelasan daripada Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS.

Kandungan wawancara Mahaguru58 dengan Dr Harun Din kemudiannya diterbitkan dalam bentuk video dan diupload di youtube.

Dalam kandungan video tersebut, Mahaguru58 menulis seperti berikut;

Baru-baru ini Penasihat PKR, Anwar Ibrahim pergi menjawab soalan para pelobi pengaruh dan kuasa politik Yahudi Amerika tentang keterlibatan Anwar di dalam demonstrasi menentang rejim zionis Israel kerana membunuh aktivis Turki di dalam misi bantuan ke Gaza.

Anwar dilaporkan sedang dipantau anggota MOSSAD Tel Aviv dan juga agensi perisikan Amerika Syarikat iaitu CIA kerana dikhuatiri mereka bahawa Anwar telah berpaling tadah dari menjadi 'kawan' Washington dan Tel Aviv dengan turut bersama ribuan pembantah di dalam protes berhadapan Keduataan US di KL.

Anwar di dalam menjelaskan kedudukan dirinya turut membuat kenyataan bahawa ia menentang penubuhan Negara Islam. Ia juga mempertikaikan hukuman sebat syariah ke atas peminum arak Kartika Dewi Sukarnor yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah Pahang dan menyatakan bantahannya terhadap alim ulama Malaysia yang ia tuduh membisu terhadap salah laku golongan berada dan berkuasa negara.


Dr Harun Din ketika ditanya berkenaan penolakan Anwar berkenaan Konsep Negara Islam menjawab kata-kata Anwar itu sekadar mainan politik yang bercakap berbeza di tempat dan khalayak yang berbeza.

Tetapi menurut Dr Harun Din, mainan politik pun ada sempadannya, tidak boleh sewenang-wenang berpolitik sehingga boleh menjejaskan pegangan akidahnya.Menurutnya, dalam hukum Islam, seseorang itu tidak boleh bertolak ansur jikalau mengaitkan dengan hukum agama. Perkara ini seperti mempermainkan hukum agama. Hukum agama tidak boleh dipolitikkan.

Beliau mengatakan Konsep "Negara Islam" itu pada dasarnya bukan pada nama tetapi pada isinya. Menurutnya lagi umat Islam wajib melaksanakan hukum hudud, siapa yang menetang hukum tersebut bermakna orang itu bukan muslim sejati.

Berkenaan dengan hukuman rotan yang dikenakan kepada gadis peminum arak itu, Dr Harun Din berkata hukuman tersebut bukannya kolot, malah dalam dunia moden hari ini, hukuman sebatan masih dilaksanakan.

"Malaysia sebagai contohnya, walaupun tidak disebut undang-undang Islam, tetapi masih menjatuhkan hukuman sebat kepada perogol, sebat kepada perompak, di negara China pun menggunakan hukuman sebat, walaupun sebatan bukan cara Islam" kata Harun.

Menurutnya lagi hukuman sebat yang dipraktikkan dalam Islam tidak menyakitkan seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.

"Hukuman sebat dalam Islam bukan untuk mencederakan, tetapi di sebalik hukuman itu individu tersebut akan mendapat pengajaran", tegasnya.


Baca selanjutnya..

Thursday, August 12, 2010

Anwar Ibrahim pernah cium girlfriend Paul Wolfowitz

Datuk Seri Anwar pernah bercium mulut stail Barat dengan girlfriend, Paul Wolfowitz ketika mereka berjumpa di Bahrain, dakwa YB Dato' Zahrain Mohammed Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru.

Adegan perciuman mulut antara Anwar dan Shaha Riza disaksikan sendiri oleh Zahrain, ketika beliau merupakan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang mengikuti rombongan Ketua Umum PKR ke Bahrain.

Anwar ketika itu merupakan Pengerusi Foundation For The Future, sebuah yayasan demokrasi tajaan Amerika Syarikat yang berpengkalan di Bahrain, manakala Shaha Riza merupakan CEO yayasan yang dipengerusikan Anwar tersebut.

"Bila Shaha Riza datang, kita ingat biasalah Anwar akan sambut dengan 'Shake hand' (bersalam). Anwar tak 'shake hand' Shaha Riza ni, punya lah rapat, Anwar cium Shaha Riza" Kata Zahrain.

" Saya kata celaka ni, kalau setakat salam okay lah, tapi mereka bercium, cium pula bukan cium biasa tetapi stail Barat. Saya kata haram jadah, dia dah buat perangai dah" katanya lagi.

Menurut Zahrain tujuan Anwar bercium dengan Shaha Riza untuk menunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka berdua. Lagi pun Shaha Riza merupakan girlfriend kepada Paul Wolfowitz yang merupakan seorang tokoh 'Yahudi Israel Paling Berjaya 2002' anugerah JINSA (The Jewish Institute For National Security Affairs).

Paul Wolfowitz ketika itu adalah Presiden Bank Dunia yang merupakan salah seorang pemutus dasar luar kerajaan Republikan Presiden Bush. Kepercayaan Presiden Bush kepada Paul Wolfowitz sangat jelas apabila Yahudi beraliran zionis itu dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat yang menjadi artikek perang ke atas Iraq.

"Masa itu okay lah, dia (Anwar) boss kita. Pasai dia (bercium), dia nak tunjuk kepada Yahudi, kononnya dia boleh handle (liberal), boleh merapatkan dunia Islam dengan dunia Barat", kata bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu.

Baru-baru ini, Paul Wolfowitz bersama Al Gore, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat menulis pandangan bersama di The Wall Street Journal membela Anwar Ibrahim.

Tulisan yang bertujuan melobi kerajaan Amerika Syarikat campur tangan dalam kes liwat di Malaysia meletakkan satu premis kuat kenapa mereka menyokong Anwar Ibrahim.

Menurut Al Gore & Wolfowitz premisnya adalah : "Anwar Ibrahim komited memperjuangkan nilai-nilai pluralism, toleransi dan kebebasan yang diperlukan oleh Malaysia untuk berkembang."

Kami di AIDC mempersoal kenapa kedua-dua tokoh Yahudi itu lebih mengenali Anwar Ibrahim berbanding dengan rakyat Malaysia.Klik di sini

Rakyat Malaysia mengenali Anwar Ibrahim sebagai bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan tokoh yang diramal bakal menjadi Presiden Parti Islam Malaysia (PAS), sedangkan kedua tokoh Yahudi tersebut yakin Anwar Ibrahim merupakan 'bapa pluralis, tolenransi dan Kebebasan' yang amat kontras dengan perwatakannya.

Namun begitu pendedahan Zahrain yang menjadi kawan rapat Anwar selama 30 tahun ketika berceramah di Jalan IKS, Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada 23 Julai lalu, berkenaan dengan Anwar pernah bercium dengan Shaha Ali Riza sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa pandangan Al Gore dan Wolfowitz terhadap Anwar adalah benar. Baca selanjutnya..

Monday, August 9, 2010

Tindakan Anwar bangkitkan isu Saiful-Farah untuk elak doktor beri keterangan

Ramai pemerhati mahkamah mempersoalkan motif Datuk Seri Anwar memperbesarkan isu 'hubungan romantis' saksi utama, Mohd Saiful Bukhari dengan Timbalan Pendakwaraya, Farah Azlina Latif, sedangkan isu tersebut berasingan dengan pendakwaan yang dikenakan kepada Ketua Pembangkang tersebut.

Tindakan Anwar yang cepat-cepat membuat laporan polis dan Karpal Singh yang mahu Saiful dan Farah dibicarakan, seolah-olah mahu mengalih isu prosiding yang sedang dibicarakan sekarang.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin menyifatkan dakwaan Anwar dan Karpal tersebut adalah dakwaan kosong yang tidak dapat dibuktikan.

Sebelum ini Datuk Mohd Yusof telah membuktikan Anwar meliwat Saiful dengan pembuktian keterangan air mani, DNA Anwar dalam dubur Saiful, tetapi Anwar mengalihkan tumpuan dengan mendakwa Saiful mempunyai hubungan dengan Farah hanya bersandarkan keterangan 'hear say' dari blog Malaysia Today kepunyaan Raja Petra Raja Kamaruddin, kroni Anwar yang melarikan diri ke luar negara.

Sebelum ini, Anwar pernah menggunakan keterangan doktor kononnya tidak berlaku 'kemasukan' sebagai hujah untuk menggugurkan kes, tetapi apabila para doktor mahu memberi keterangan pasukan peguam bela Anwar berusaha menghalangnya dengan mencipta satu lagi isu baru iaitu hubungan Saiful-Farah.

"Hujah Anwar tidak konsisten, sekejap mahu gugurkan kes menggunakan hujah doktor, kemudian beralih pula kepada hubungan romantis. Ini bicara dalam bicara bertujuan untuk melengah-lengahkan", kata sumber dalaman.

"Hubungan romantis hujah yan terlalu lemah jika dibandingkan dengan hujah keterangan saintifik dari para doktor. Sepatutnya Anwar dan pasukan penguamnya beri peluang kepada para doktor membei keterangannya, bukannya mencari alasan untuk melengah-lengahkan"

"Selepas hubungan romantis itu gagal dibuktikan oleh Anwar, apa lagi alasan Anwar untuk menggugurkan dan melengah-lengahkan prosiding", kata sumber itu lagi.

Prosiding hari ini sedang membicarakan kes hubungan romantis Saiful-Farah. Pasukan pendakwa dan peguam bela Anwar sedang mengemukakan hujah masing-masing. Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah dijangka akan membuat keputusan kerelevanan isu tersebut hari ini.

Sebelum ini, perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang yang sepatutnya bersambung akhir Julai dengan pemeriksaan balas terhadap seorang doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL), terpaksa ditangguhkan kepada 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Mahkamah Tinggi diberitahu oleh pasukan pembelaan hari ini bahawa Karpal Singh dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami jangkitan paru-paru yang akut pada 9 Julai, dan dibenarkan pulang Khamis lepas.

Beliau diberikan cuti sakit sehingga 23 Julai dan sedang berehat di rumahnya di Petaling Jaya.

Pada 4 Jun lalu, Dr Mohd Razali Ibrahim, saksi kedua pendakwa yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008 memberitahu, ujian sampel menunjukkan adanya air mani walaupun tiada kesan koyakan atau kecederaan pada bahagian dubur.

Ujian itu dijalankan dua hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku.

"Dengan kesemua laporan yang ada di depan saya, saya boleh mengatakan adanya bukti penembusan walaupun tanpa kecederaan klinikal," kata beliau lagi.

"Dengan kehadiran kesan air mani, ada bukti penembusan (di bahagian) dubur," katanya.

Selepas keterangan doktor tersebut, Karpal meminta penangguhan untuk persediaan soal balas, namun hingga ke hari ini, pelbagai cubaan dilakukan untuk menghalang doktor tersebut daripada terus memberi keterangan



Baca selanjutnya..

Friday, August 6, 2010

Mahkamah tolak rayuan Anwar dapatkan nota perubatan

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapatkan nota-nota perubatan dari tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang merawat pengadu kes liwatnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Zaleha Zahari yang mengetuai panel tiga hakim bersama Hakim Abdul Malik Ishak dan Hakim Clement Allan Skinner yang bersidang hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu menolak permohonan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan semua laporan perubatan yang disediakan oleh tiga doktor yang terlibat.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam keputusannya berkata tidak ada peruntukan atau asas undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan.

Mohamad Zabidin terlebih dahulu mendengar hujahan peguam Karpal Singh selaku peguam utama Ketua Pembangkang tersebut dan juga hujahan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili barisan pendakwaan.

Karpal menghujahkan pihaknya memerlukan dokumen-dokumen itu untuk kegunaan profesor perubatan forensik yang didatangkan khas dari Australia, Dr David Lawrence Wells bagi membantu barisan pembelaan dalam menyoal balas saksi perubatan.

"Semua dokumen itu adalah relevan untuk membolehkan Wells menasihatkan barisan pembelaan bagi menyoal balas Dr Mohd Razali Ibrahim (saksi pendakwaan kedua).

"Wells dalam afidavitnya turut mengesahkan ketiadaan dokumen tersebut menjejaskan kebolehannya dalam membantu pembelaan," hujah Karpal.

Bagaimanapun, Mohd Yusof membidas hujahan itu dengan berkata, dokumen-dokumen tersebut tidak diperlukan oleh Wells kerana saksi pendakwaan boleh disoal balas semasa perbicaraan.

"Berdasarkan kelayakan yang dinyatakan Wells pada afidavitnya, beliau semestinya pakar dalam bidangnya. Sudah pasti beliau mengetahui apakah kelayakan atau kemahiran yang diperlukan untuk memeriksa seseorang bagi menentukan jika benar berlaku kejadian liwat.

"Beliau juga ada menulis buku dan artikel berkenaan subjek tersebut dan sudah tentu beliau mengetahui prosedur yang digunakan dalam pemeriksaan klinikal dan forensik," hujah Mohd Yusof.

Permohonan itu dikemukakan oleh peguam Anwar pada 4 Jun lalu.

Beliau meminta semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, emel, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian oleh ketiga-tiga doktor yang telah memeriksa pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Selain itu, peguam Anwar juga mahu pihak pendakwa menyerahkan peralatan yang lazim digunakan semasa ujian untuk serangan seksual diberikan kepada mereka.

Pihak pembela juga ingin mendapatkan maklumat berhubung kelayakan dan pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan yang merawat Saiful - Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Dr Mohd Razali adalah pakar bedah di HKL yang telah memeriksa bekas pembantu Anwar dengan pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng.


Baca selanjutnya..

Apa motif Anwar hantar Nurul Izzah berbincang dengan Universiti Paramadina ?



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad semalam dilaporkan telah mengadakan kunjungan ke Universiti Paramadina Indonesia dan berbincang dengan Anies Baswedan yang merupakan rektor universiti berkenaan.



Universiti Paramadina diasaskan pada tahun 1998 oleh tokoh Islam Liberal terkenal di Indonesia iaitu Nurcholish Madjid melalui yayasannya The Paramadina Foundation.Klik di sini dan klik di sini

Nurcholish Madjid yang mendapat kedoktoran Islamic Study dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat di bawah bimbingan Fazlur Rahman telah menjadi Rektor Universiti Paramadina dari awal penubuhannya (1998) hingga kewafatannya pada tahun 2005. Klik di sini

Selepas kewafatan Nurcholish, Universiti Paramadina diterajui oleh anak buahnya, Anies Baswedan yang meneruskan misi utama universiti tersebut untuk menyebarkan Pluralisme Agama di Indonesia di bawah tajaan Asia Foundation, sebuah yayasan dari Amerika Syarikat.

Menurut pengamat politik, Anis Baswaden sedang direkrut oleh Amerika Syarikat untuk menjadi bakal pemimpin masa hadapan di Indonesia.

Tulisannya yang paling terkenal ialah “Political Islam in Indonesia: Present and Future Trajectory”. Kandungan bukunya memfokus kepada idea mempromosi Islam Liberal dan pluralisme agama sebagai pilihan hidup umat Islam.

Beliau juga pernah menerima anugerah tokoh intelektual dunia dari Forum ekonomi dunia Davos hinggalah kepada Majalah Foreign Policy yang memasukkan namanya sebagai salah seorang daripada 100 "Public Intellectuals" di dunia sebaris dengan nama bekas Naib Presiden Amerika Syarikat AL Gore.



Dipercayai kunjungan kedua orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah(anak Anwar) dan Nik Nazmi (pegawai khas Anwar) ke universiti itu bertujuan untuk perbincangan lanjut tentang strategi mengembangkan fahaman pluralisme Agama ke Malaysia.



Dalam tulisan Al Gore dan Paul Wolfowitz di The Wall Street Jounal baru-baru ini kedua mereka bersetuju untuk menyokong sepenuh hati kepada Anwar Ibrahim kerana ketua Pakatan Rakyat itu dianggap sebagai 'Bapa Pluralisme Malaysia'. Baca selanjutnya..