Friday, May 8, 2009

Nik Aziz akui tulisan anaknya benar

Sehingga kini Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah menafikan tulisan anaknya di blog bertajuk 'Kerja-Kerja Bodoh Dalam PAS' adalah tidak benar.

Nik Abdul Aziz tidak pernah mengkritik tulisan anaknya, sebaliknya meminta pihak media bertanya sendiri kepada Nik Abduh yang dianggap sudah cukup matang dalam politik PAS.

Mursyidul Am PAS, berkata beliau memberi sepenuh kebebasan kepada anak lelakinya, Nik Abduh untuk terus memberi pandangan termasuk dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan parti,lapor Bernama hari ini.

Dalam tulisan Nik Abduh pada 24 April lalu, beliau mengecam pembantu-pembantu sesat ayahandanya yang telah memberi maklumat salah bertujuan untuk melaga-lagakan ayahandanya dengan Tuan Guru Datuk Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Tulis Nik Abduh “Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama Tuan Guru Haji Hadi (TGHH), ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya”

“Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka”, tulis Nik Abduh lagi.

Sebelum itu Nik Abduh mengakui ayahandanya telah ‘menegur’ supaya tidak membiarkan kekeliruan tulisannya berlarutan.

Tetapi maksud ‘menegur’ Nik Aziz bukanlah bererti ‘marah’ kerana makna ‘menegur’ harus dilihat dalam versi Kelantan yang tidak menafikan perkara itu benar, tetapi tidak mahu berlarutan hingga memudaratkan parti.

Hal ini diperkukuhkan lagi, selepas Nik Abduh dipanggil oleh Dewan Ulama PAS Kelantan berkaitan dengan tulisannya itu, selepas itu Dewan Ulama PAS Kelantan telah mengeluarkan kenyataan media yang selaras dengan nada Nik Abdul.

Kemudian disusuli oleh kenyataan media oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Setiausaha PAS Kelantan yang mengecam Husam sebagai dalang berkocaknya kepimpinan dalam PAS.