Friday, September 17, 2010

Rayuan Anwar gugur kes liwat ditangguh 20 September

KUALA LUMPUR - Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan kes liwatnya yang sepatutnya didengar oleh Mahkamah Rayuan hari ini ditangguhkan ke 20 September berikutan bantahan Karpal Singh yang menyalahkan pihak pendakwa membuat bantahan awal dengan hujah menolak pemohonan Anwar tanpa merujuk kepada pihaknya.

"Pihak kami tidak dimaklumkan berhubung bantahan awal itu dan kami tidak bersedia berhujah hari ini", kata Karpal yang mengetuai barisan peguam bela Anwar.

Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop kemudiannya menetapkan Isnin depan (20 September) untuk membenarkan Karpal menyediakan hujah-hujah sebelum membuat keputusan berkenaan status pengguguran kes yang dipohon oleh Anwar Ibrahim.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, menangguhkan hingga prosiding kes liwat pada 20 September, apabila Karpal Singh memohon penangguhan untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar agar kes ini digugurkan kerana hubungan romantis Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Zabidin dalam menolak permohonan Anwar itu memutuskan bahawa integriti pihak pendakwaan tidak terjejas kerana Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan dan beliau juga tidak mempunyai pengetahuan (privy) kepada perjalanan pendakwaan dalam kes itu.

Beliau berkata seperti yang dinyatakan dalam afidavit pihak pendakwaan peranan Farah Azlina hanya mencatat nota keterangan di mahkamah dan beliau bukannya Timbalan Pendakwa Raya yang menentukan perjalanan kes itu, maka hubungan itu tidak mempengaruhi keterangan Saiful dalam kes tersebut.