Wednesday, October 7, 2009

Aset Anwar RM3 billion - Akuan berkanun Datuk Murad benar, kata Nalllakarupan

Datuk S Nallakarupan, kawan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan akuan berkanun yang pernah dibuat oleh Datuk Abdul Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, 10 tahun lalu adalah benar.

"Anwar mempunyai pelbagai sumber, saya tidak reka cerita ini, seperti mana yang pernah didedahkan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad dalam akuan berkanunnya pada tahun 1999," katanya dalam sidang media di peti undi Kampung Bharu Si Rusa pada 6 Oktober lalu.

Nallakarupan dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai pelbagai sumber seperti yang pernah didedahkan Datuk Abdul Murad Khalid.

Pada 26 Oktober 1999, Abdul Murad mendedahkan dalam akuan berkanunnya bahawa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk yang diuruskan oleh kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

Dalam akuan berkanun itu, Abdul Murad turut mendakwa Anwar menggunakan wang akaun induk tersebut untuk memajukan cita-cita politiknya.

Nallakarupan merupakan 'rakan sepermainan tenis' Anwar sejak dari tahun 1990-an hingga Anwar dipecat daripada UMNO pada tahun 1998.

Ketika Anwar dipecat, Nallakarupan merupakan salah seorang yang ditahan polis dan apabila rumahnya digeledah polis didapati beliau menyimpan beberapa dokumen 'rahsia' daripada Kementerian Kewangan.

Ketika Anwar menjadi Menteri kewangan, beliau selalu didampingi oleh taukeh-taukeh judi, antaranya Datuk T.K. Lim, pemilik Magnum Berhad. Untuk terus mendampingi Menteri Kewangan, T.K Lim telah melantik rakan baik Anwar iaitu Nallakarupan sebagai Pengarah Perhubungan Awam Magnum Corporation, salah satu syarikat judi yang terkenal di negara ini.

Nallakarupan pernah dipenjarakan selama setahun kerana didapati bersalah memiliki peluru pistol tanpa permit dan dibebaskan pada Ogos 1999. Selepas dibebaskan, beliau membawa keluarganya berhijrah ke luar negara sebelum kembali ke tanahair pada tahun 2003.

Pada tahun 2004, Anwar sebagai penasihat PKR telah memujuk sahabat baiknya itu untuk menyertai PKR, tetapi Nallakarupan menolak tawaran itu kerana ingin menumpukan kepada perniagaan.

Namun pada Ogos 2006, setelah dipujuk kali kedua, Nallakarupan menyertai PKR, untuk memperkukuhkan parti khususnya di kalangan masyarakat India.

Akhirnya, pada Mei 2007, Nallakarupan mengistiharkan diri keluar daripada PKR kerana hilang kepercayaan kepada penasihat parti, Anwar Ibrahim dan menubuhkan parti baru yang dinamakan MIUP (Malaysian Indian United Party).