Tuesday, September 15, 2009

Permohonan Anwar gugurkan pendakwaan kes liwat diputuskan hari ini

Petang ini, jam 2.00 petang, Mahkamah R4, Jalan Duta akan memutuskan sama ada permohonan Anwar Ibrahim memohon menggugurkan semua barisan pendakwaan kes liwat patut diteruskan atau tidak.

Sebelum ini Peguam Kanan Persekutuan, See Mee Chun berkata, mahkamah sepatutnya menolak permohonan itu berasaskan yang Anwar memohon untuk melarang pasukan pendakwaan melaksanakan tugas berkanun mereka.

‘‘Permohonan ini tidak berasas. Hujah kami adalah permohonan ini digugurkan atau ditolak dengan kos,’’ kata Mee Chun.

Beliau berkata, pendakwaan berhubung kes liwat itu tidak boleh dikaji semula oleh Mahkamah Rayuan.

“Usaha itu adalah ‘‘benar-benar’’ serangan ke atas kuasa Peguam Negara mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Anwar memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya pada 11 Ogos lalu, dengan menyebut alasannya sebagai ‘‘sama seperti mempersenda keadilan’’.

Beliau menamakan Peguam Cara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.