PULAU PINANG: Selepas Zulkifli Nordin dan Azan Ismail, Datuk Seri Zaharain Mohd Hashim, Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, pula mengkritik kepincangan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang.
Semalam, Zaharain mengkritik keras Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang disifatnya sebagai pemimpin diktator, cauvinis dan berpemikiran komunis.
Malah bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang itu turut menegaskan, pakatan pembangkang harus berhenti bertolak ansur dengan pemimpin dari Melaka yang didakwanya gagal melaksanakan janji-janji yang 'ditabur' semasa pilihan raya umum lalu.
Zahrain berkata, Lim menjadi bebanan kepada PR Pulau Pinang jika dibiarkan terus memerintah dengan gaya diktatornya.
"Lim tidak gemar dikritik. Beliau juga melabel mereka yang mengkritiknya sebagai ejen Barisan Nasional, malah rakan-rakan DAP juga tidak boleh membantah jika beliau membuat sesuatu keputusan,” dakwanya seperti yang dilaporkan oleh mstar online.
Zahrain berkata antara janji-janji manis pilihan raya itu adalah pilihan raya majlis tempatan dan sistem tender terbuka.
"Dia yang juga berjanji untuk menjalankan sistem tender terbuka tetapi apa yang dilakukannya sekarang lebih teruk dari Barisan Nasional (BN) kerana dia sendiri yang mempengerusikan lembaga tender.
"Semasa BN memerintah, pemilihan lebih telus dan seimbang kerana pengerusi akan dilantik daripada kakitangan awam," katanya.
"Ia amat memalukan apabila projek-projek dianugerahklan kepada kroni," katanya lagi.
Zahrain berkata, Lim tidak sesuai sebagai Ketua Menteri kerana beliau bukan dari kalangan rakyat tempatan dan tidak memahami tentang sentimen tempatan.
"Beliau juga gagal membawa pelabur luar walaupun telah ke seluruh dunia untuk menarik pelabur. Pengundi tahu, rakyat Pulau Pinang sangat teliti dengan perkembangan ekonomi," katanya.
Dalam pada itu beliau mempersoalkan, satu pertiga daripada ucapan Lim ketika konvensyen PR dibuat dalam bahasa Mandarin.
Sebagai seorang pemimpin dalam PR, beliau seharusnya menghormati setiap bangsa dan berucap dalam bahasa yang difahami pada setiap majlisnya, katanya.