Tuesday, September 21, 2010

Prosiding kes liwat Anwar ditangguh 14 Oktober

KUALA LUMPUR - Prosiding kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya disambung hari ini ditangguh lagi pada pertengahan bulan Oktober depan. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh-tarikh seperti berikut sebagai menyambung prosiding kes iaitu 14, 15, 25-29 Oktober, 22-26 November dan 6-10 Disember.

Keputusan hakim dibuar di dalam kamar, di Mahkamah Tinggi pagi ini setelah perbincangan di antara pihak pendakwa dan peguam bela Anwar.

Prosiding yang sepatutnya disambung semalam (20 September), terpaksa ditunda ke hari ini untuk memberi laluan kepada Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Anwar untuk menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya, berdasarkan dakwaannya bahawa DPP Farah Azlina Latif mempunyai hubungan intim dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Semalam, Mahkamah sebulat suara menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwat tersebut kerana Mahkamah Rayuan tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara berkenaan.

Hakim Datuk Ahmad Maarop yang mengetuai tiga anggota panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar Ma'ah menyatakan peruntukan Peruntukan Seksyen 3 CJA menyebut Mahkamah Rayuan tidak ada bidang kuasa untuk melayan rayuan mengenai perkara interlokutori yang diputuskan semasa perbicaraan sedang dijalankan kerana keputusan itu dianggap bukan satu perintah terakhir dan tidak menafikan hak sepenuhnya pihak berkaitan.

Hakim Ahmad ketika membacakan alasan penghakiman awalnya menyatakan, keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lalu tidak boleh dirayu kerana ia bukan keputusan muktamad.

Menurutnya, mahkamah berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi kerana perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung dan kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin, terpaksa menangguhkan prosiding kes liwat dengan sesi soal balas, Karpal Singh terhadap saksi kedua pihak pendakwa doktor pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Razali Ibrahim kerana ketua penguam bela Anwar itu memohon penangguhan dengan alasan anak guamnya ingin membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menggugurkan kes tersebut.

Hakim Mohd Zabidin dalam keputusan menolak permohonan Anwar itu memutuskan bahawa integriti pihak pendakwaan tidak terjejas kerana Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan dan beliau juga tidak mempunyai pengetahuan (privy) kepada perjalanan pendakwaan dalam kes itu.

Beliau berkata seperti yang dinyatakan dalam afidavit pihak pendakwaan peranan Farah Azlina hanya mencatat nota keterangan di mahkamah dan beliau bukannya Timbalan Pendakwa Raya yang menentukan perjalanan kes itu, maka hubungan itu tidak mempengaruhi keterangan Saiful dalam kes tersebut.