Monday, September 20, 2010

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Anwar gugurkan kes liwat

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya, berdasarkan dakwaannya bahawa DPP Farah Azlina Latif mempunyai hubungan intim dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop. Dua lagi hakim ialah Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Ma'ah Azhar.

Hakim Ahmad bersetuju dengan pihak pendakwa yang berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut kerana perbicaraan sedang berjalan.

Katanya, bidang kuasa mahkamah ditentukan oleh Seksyen 50 (1) Akta Mahkamah Kehakiman, sama ada ia boleh mendengar dan menentukan sebarang rayuan ketika perbicaraan sedang berjalan.

Pada 17 September lalu, Mahkamah Rayuan yang sepatutnya mendengar rayuan Anwar untuk menggugurkan kes terpaksa ditangguhkan ke hari ini berikutan bantahan Karpal Singh yang mendakwa tidak bersedia menyediakan hujah untuk membalas bantahan awal daripada pihak pendakwa.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, menangguhkan hingga prosiding kes liwat pada 20 September, apabila Karpal Singh memohon penangguhan untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar agar kes ini digugurkan kerana hubungan romantis Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Zabidin dalam menolak permohonan Anwar itu memutuskan bahawa integriti pihak pendakwaan tidak terjejas kerana Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan dan beliau juga tidak mempunyai pengetahuan (privy) kepada perjalanan pendakwaan dalam kes itu.

Beliau berkata seperti yang dinyatakan dalam afidavit pihak pendakwaan peranan Farah Azlina hanya mencatat nota keterangan di mahkamah dan beliau bukannya Timbalan Pendakwa Raya yang menentukan perjalanan kes itu, maka hubungan itu tidak mempengaruhi keterangan Saiful dalam kes tersebut.

Karpal Singh, Ketua Peguam bela Anwar yang bercakap kepada sidang media selepas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, berkata pihaknya akan memfailkan notis rayuan ke peringkat yang lebih tinggi di Mahkamah Persekutuan esok.