Thursday, December 10, 2009

Nallakarupan Dapat Perintah Penangguhan Dari Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA - Presiden Parti India Bersatu Malaysia(MIUP) Datuk S. Nallakarupan belum lagi perlu memberi butiran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaannya bahawa ketua pembangkang itu telah menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian.

Dia mendapat perintah penangguhan pelaksanaan keputusan dari Mahkamah Rayuan di Mahkamah Rayuan, 30 November lalu sementara menunggu penyelesaian rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 16 Nov lalu.

Keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan disampaikan oleh Hakim Tengku Datuk Baharudin Shah Tengku Mahmud dan Datuk Wira Abu Samah Nordin dengan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membantah.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nallakarupan membekalkan butiran terperinci berhubung dakwaannya itu yang dipohon oleh Anwar dalam saman fitnah yang difailkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Yusof sebelum ini mengarahkan Nallakaruppan membekalkan butiran iaitu siapa memberi wang, bila dan di mana wang itu diberikan dalam tempoh 14 hari dari tarikhh 16 Nov lalu selepas menolak rayuan Nallakarupan dan permohonan lisan bagi perintah penangguhan.

Nallakarupan disaman oleh Anwar terhadap artikel bertajuk 'Anwar terima RM60 juta' yang diterbitkan dalam akhbar harian Mingguan Malaysia dan Sinar Harian pada Ogos tahun lepas.

Anwar mendakwa Nallakarupan telah membuat tuduhan palsu terhadapnya dengan mendakwa dia telah menerima wang sejumlah itu dalam artikel tersebut tetapi Nallakarupan, dalam penyataan pembelaan, mendakwa Anwar sebenarnya menerima wang itu daripadanya dan juga daripada Magnum Corporation Bhd.

Peguam Nallakarupan, Datuk Cecil Abraham, menggesa mahkamah memberikan perintah penangguhan itu kerana rayuan anak guamnya itu tidak akan bermakna jika butiran itu diberikan sebelum rayuan didengar.

Katanya butiran yang dipohon oleh Anwar berkaitan kepada keterangan yang bakal digunakan dalam perbicaraan kes nanti.