Saturday, November 7, 2009

Dr Aziz dikritik perwakilan PAS

KUALA LUMPUR: Seperti yang dijangkakan, Dr Aziz Bari tidak terlalu berkeras mendesak Hadi Awang berundur seperti yang diucapkan dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini. Namun begitu, di sebalik sulaman kata-kata berkias pemerhati politik itu, terdapat nada-nada yang menjurus ke arah itu.

Rata-rata perwakilan khususnya dari kepimpinan ulama, kurang senang dengan kritikan terbuka Dr Aziz Bari sebelum ini.

"Minta maaflah, hari ini saya sampai tidak boleh nak lihat muka Prof Aziz," kata pemimpin PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik pada sesi dialog seminar berkenaan.

Abu Bakar juga mempersoalkan penjelasan Dr Abdul Aziz sebelum itu yang meminta peserta tidak memfokuskan kepada analisis pilihan rayanya semata-mata kerana ia dibuat dalam ruang lingkup ke arah pembentukan sistem dua parti di Malaysia.

"Kenapa? Secara jelas (hendak) jadi ejen Barat apabila paksa kita ikut sistem dua parti. Kalau tidak ejen Barat pun, ejen nafsu dia. Turun, jadi orang politik!" cabarnya, disambut takbir sebahagian peserta.

Terdapat juga beberapa peserta yang bangun meminta Dr Abdul Aziz membuktikan dakwaannya bahawa Abdul Hadi kini "Pak Lah versi PAS" dan "sudah kehilangan stim" seperti diterbitkan di akhbar web Malaysiakini sebelum ini.

Malah ada yang menuntut Dr Abdul Aziz memohon maaf kerana didakwa merendahkan-rendahkan seorang ulama Islam, iaitu Abdul Hadi.

Ahli akademik yang dilihat rapat dengan pembangkang itu juga dicabar mendedahkan sumbernya yang memberikan maklumat parti kepadanya.

Bagaimanapun Abdul Aziz dalam pembentangannya tetap mempertahankan tulisannya yang mengkritik kepemimpinan PAS dan menafikan beliau adalah agen Umno bagi merosakkan parti itu.

"Saya bukannya agen Umno ataupun mana-mana parti, dulu satu masa orang tanya adakah saya ada saham dengan Harakah, kerana selalu keluar dalam surat khabar itu hinggakan saya tak dapat apa yang sepatutnya saya dapat.

"Tapi saya tak minta tuan-tuan hargai saya, hargai sumbangan saya terhadap PAS.

"Tapi sekarang ini saya sudah hilang kawan, orang Umno sudah mula menjauhi saya. sekarang ini PAS pula menimbang untuk menerima saya ataupun tidak," kata Dr Aziz ketika menjawab soalan para perwakilan seminar berkenaan.

Dr Aziz turut menafikan dakwaan kritikannya terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai satu penghinaan kepada presiden parti itu yang disifatkan bertaraf ulama.

Sementara itu sewaktu menggulung hujahnya, Dr Abdul Aziz berkata beliau tidak mempunyai "ubat" untuk memantapkan PAS.

Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa perlu ada "korban" dengan menggugurkan beberapa pemimpin kanan dalam PAS - jika mampu, termasuk Abdul Hadi - bagi menyelesaikan konflik dalaman parti Islam itu.

Secara sinis beliau berkata, bermula Isnin ini beliau tidak akan menulis lagi tentang parti itu sebaliknya akan memfokuskan kepada konflik dalaman MCA pula.

Selain Abu Bakar, pemimpin yang tidak selesa dengan pandangan ahli akademik itu termasuklah Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.

Ramai perwakilan PAS berpendapat ucapan Dr Aziz dalam Malaysiakini sebelum ini keterlaluan dan mempunyai agenda yang tersirat.